KUALA LUMPUR, Dec 11, 2025:
Seorang pemilik rumah teres Kampung Sungai Baru di sini, menyifatkan pembangunan semula kawasan itu sebagai rezeki besar buat dirinya dan dua abang, apabila bakal menerima tiga unit kondominium bernilai RM3 juta, jauh lebih tinggi berbanding rumah lama milik bersama mereka di situ.
Mohammad Noor Mohamad Ishak, 61, berkata keluarganya menetap di Kampung Sungai Baru sejak awal 1960-an, ketika kawasan itu masih dianggap penempatan sederhana dan kurang nilai komersial.
“Suasana kampung ketika itu lebih tradisional, dengan deretan rumah pangsa dan teres lama, kemudahan minimum dan tidak pernah menjadi tumpuan pembangunan besar.
“Dulu orang luar tak pandang kawasan ini. Rumah pun kecil, keliling banyak kawasan setinggan. Kami beli rumah bukan sebab pelaburan tapi untuk ada tempat tinggal yang tetap,” katanya ketika ditemui BH di sini.
Mohammad Noor berkata, rumah lamanya sebelum ini dianggar bernilai sekitar RM400,000 namun pampasan diterima jauh melebihi nilai terbabit apabila setiap kondominium bakal diperoleh dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta.
“Secara keseluruhan, tiga unit yang diterima nanti mempunyai nilai pasaran semasa kira-kira RM3 juta, sekali gus menggambarkan peningkatan ketara berbanding nilai asal hartanah yang dimiliki sebelum ini.
“Tiga unit berkenaan akan dibahagikan kepada tiga penama dalam geran tanah tapak rumah kami, membabitkan diri saya serta dua lagi abang,” katanya.
Jelasnya, pembangunan semula itu bakal menjadikan kampung berkenaan kawasan kediaman serba moden, sekali gus menjadi transformasi penting bagi masa depan penduduk setempat.
“Syukur Alhamdulillah, pemaju beri pampasan yang baik. Kami pun faham pembangunan perlu diteruskan untuk kebaikan bersama. Kerjasama kerajaan dan pemaju sudah merealisasikan hasrat kami.
“Saya sangat berterima kasih kerana pampasan ini bukan sahaja mengubah hidup kami, malah dapat menjamin masa depan anak,” katanya.
Katanya, beliau percaya projek itu akan mengangkat taraf Kampung Sungai Baru menjadi kawasan kediaman berkualiti tinggi, lengkap dengan kemudahan moden yang selama ini tidak dinikmati penduduk generasi terdahulu.
“Ini rezeki yang tidak disangka-sangka. Dulu kami bermula dengan rumah lama yang nilainya tidak seberapa, sekarang diberi peluang tinggal di kediaman serba baharu di tengah bandar,” katanya.
Penduduk Kampung Sungai Baru yang tinggal di rumah flat sebelum ini, Eddy Zulkarnaini Bukhari, 52, berkata projek pembangunan itu memberi sinar baharu kepada keluarganya yang sudah lama menantikan kediaman lebih teratur dan selesa.
Kediaman baharu RM1 juta
Beliau berkata, rumah lamanya dibeli pada harga sekitar RM10,000 lebih 40 tahun lalu kini digantikan dengan sebuah unit kediaman baharu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta, sekali gus memberi manfaat yang jauh lebih besar berbanding nilai asal hartanah berkenaan.
“Memang tak pernah terfikir rumah lama harga puluhan ribu boleh berganti dengan kediaman moden bernilai hampir sejuta. Ini peluang yang sangat bermakna untuk keluarga kami.
“Kemudahan baharu seperti lif, parkir bertingkat dan sistem keselamatan moden bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup, malah memberi jaminan nilai hartanah yang lebih tinggi pada masa depan.
“Ini peluang generasi kami menikmati pembaharuan. Kawasan ini akhirnya setanding pembangunan bandar lain. Saya percaya projek berkenaan mampu merapatkan jurang pembangunan antara kawasan tradisi dan bandar moden,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan itu kelak diharap menjadi pemangkin kepada peluang ekonomi baharu untuk penduduk setempat, termasuk penyediaan ruang niaga dan aktiviti komuniti.
Seorang lagi pemilik, Yahya Jupri, 60, berkata, pembangunan semula itu adalah langkah tepat bagi memastikan kawasan terbabit tidak terus ketinggalan berbanding pembangunan pesat di sekitar Kuala Lumpur.
“Kita tinggal betul-betul di tengah bandar, tetapi kemudahan lama tidak lagi sesuai. Pembangunan semula berkenaan memberi nafas baharu kepada komuniti.
“Reka bentuk moden yang dicadangkan dalam projek terbabit memberi keyakinan bahawa kawasan itu akan menjadi lebih teratur dan menarik.
“Dulu orang fikir kampung ini padat dan berselirat, tetapi lepas pembangunan semula, ia akan menjadi kawasan perumahan berkualiti,” katanya.
Yahya berkata, projek itu diharapkan akan menjadi pemangkin kepada penyediaan infrastruktur awam yang lebih baik seperti akses pengangkutan dan kemudahan kesihatan.
“Projek berkenaan juga diharapkan dapat memberi peluang untuk generasi baharu menikmati gaya hidup bandar yang lebih berkualiti.
“Saya percaya apabila siap nanti, nilai komuniti ini akan bertambah dan kita dapat hidup dalam persekitaran lebih kondusif,” katanya.
Source: Berita Harian Online