Skip to main content

Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Sebanyak RM62.57 juta bayaran pampasan sudah dibayar kepada pemilik rumah dan pihak berkepentingan dalam projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Khairul Nizam Othman berkata, jumlah pampasan ditentukan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Wilayah Persekutuan berdasarkan Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Menerusi tawaran usaha sama, pemilik rumah flat akan memperoleh sebuah rumah ganti dengan anggaran tawaran antara RM884,000 sehingga RM1 juta.

“Manakala pemilik rumah teres akan memperoleh antara tiga hingga sembilan rumah ganti dengan anggaran tawaran antara RM2.7 juta hingga RM8.1 juta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan isu berkaitan Kampung Sungai Baru, hari ini.

Tambahnya, pembayaran pampasan itu merangkumi elemen nilai hartanah, kos penyelenggaraan, penambahbaikan, kos pindah, kos sewa sementara, kos kehilangan pendapatan, kos hadir bicara, fi penilaian serta lain-lain.

Katanya, bagi pemilik rumah flat yang terbabit dalam pengambilan tanah, mereka ditawarkan sebuah rumah berkeluasan 900 kaki persegi bernilai RM300,000 yang boleh dimiliki pada harga separuh daripada jumlah pampasan diterima.

“Sebagai contoh, pemilik yang menerima tawaran pampasan berjumlah RM250,000, boleh memiliki tawaran pakej harmoni dengan harga RM125,000.

“Tawaran ini sudah dikemukakan oleh pemaju kepada pemilik yang memohon pada 16 Mei 2022 dan sejumlah 11 unit flat menerima tawaran pemaju itu,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 72 peratus atau 236 daripada 328 pemilik kediaman bersetuju dengan pelan pembangunan semula, manakala 28 peratus masih menolak.

Katanya, sebahagian daripada pemilik yang belum bersetuju berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan isu pampasan.

Semalam, proses pengosongan tapak pembangunan itu menjadi tegang apabila 15 penduduk enggan berpindah dari kediaman masing-masing.

Source: Buletin TV3