Skip to main content

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 10 tahun penantian, akhirnya penduduk di Kampung Sungai Baru boleh menarik nafas lega selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru disempurnakan hari ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, ia satu detik bersejarah yang dinantikan sekaligus menjadi titik permulaan transformasi kawasan berkenaan.

“Alhamdulillah pada hari ini adalah hari yang paling bersejarah saat di mana kita menunggu selama hampir 10 tahun untuk majlis ini dan untuk atas niat untuk mengembalikan penduduk asal di Kampung Sungai Baru ini kembali semula ke sini, ke Kampung Sungai Baru.

“Dalam urusan ini, saya sudah minta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) untuk lihat dengan teliti kesemua aspek untuk memastikan identiti asal, bukan saja identiti Melayu, tetapi adat resam di Kampung Sungai Baru ini kekal terpelihara.

“Ini bukan pengakhiran kepada Kampung Sungai Baru, malah ini adalah permulaan baru kepada Kampung Sungai Baru,” jelasnya

Tambahnya, pihak pemaju juga bersetuju untuk menyediakan beberapa perkara demi keselesaan penduduk di situ.

“Jadi pihak pemaju sudah pun bersetuju beberapa perkara iaitu caj penyelenggaraan diberikan secara percuma bagi tahun pertama selesainya pembangunan semula ini dan kemudian menanggungnya dengan dana penampan sebanyak 70 peratus bagi tahun kedua hingga tahun ke-10.

“Komitmen ini bernilai sehingga RM4 juta. Selain itu, pemaju juga bersetuju untuk menyediakan kelengkapan tambahan rumah berbentuk pendingin udara, hud dan dapur masak bernilai keseluruhan sehingga RM2 juta.

“Pemaju turut bersetuju menanggung kos pembinaan berjumlah RM15 juta untuk menghubungkan Kampung Baru amnya dan Kampung Sungai Baru khasnya dengan akses terus ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH),” katanya lagi.

Tambahnya, projek pembangunan semula itu bakal menyaksikan pembinaan beberapa unit kondominium lengkap dengan pelbagai fasiliti bagi keselesaan penduduk.

Terdapat dua jenis unit kediaman yang akan dibina berkeluasan 900 kaki persegi ke atas sehingga 1,200 kaki persegi ke atas yang meliputi 3 bilik dan 3 bilik air.

Oleh: Fareez Azman

Source: Buletin TV3