Skip to main content

KUALA LUMPUR: Pengundian unit rumah bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru akan diadakan dua bulan lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya menjangkakan projek berkenaan siap dalam tempoh empat tahun.

“Dua bulan dari sekarang akan ada pembahagian secara pengundian kepada unit-unit rumah dan kita jangka dalam empat tahun lagi akan siaplah pembangunan itu, Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee di sini, hari ini.

Berkenaan pampasan kepada pemilik yang tidak bersetuju dengan nilai ditawarkan, Dr Zaliha mengesahkan tidak dihubungi mana-mana pihak berkenaan sebarang isu berbangkit, setakat ini.

“Dari sudut pampasan dan sebagainya, mereka boleh ke mahkamah untuk melihat penilaian semula jumlah pampasan yang diberikan,” katanya.

Katanya, pemilik yang bersetuju dalam semua isu termasuk pampasan sudah menyelesaikan segala urusan dan projek dijangka bermula dalam tempoh terdekat.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru dijangka siap dalam tempoh empat tahun selepas hampir 10 tahun melalui pelbagai cabaran untuk menjadikan kawasan itu lebih teratur, moden dan terkehadapan.

Keluasan rumah bernilai RM1 juta yang disediakan itu adalah 900 kaki persegi ke atas sehingga 1,200 kaki persegi meliputi tiga bilik dan tiga bilik air.

September lalu, sejumlah RM62.57 juta bayaran pampasan diberi kepada pemilik dan pihak berkepentingan dalam projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

Penentuan jumlah pampasan dibuat oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Wilayah Persekutuan berdasarkan Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960.

Source: BH Online